Thursday, September 23, 2010


Mereka selalu bersama masuk ke hutan. Namun, Yatim dan Dali berbeza perangainya dengan Busu.

Busu bersifat pemurah, baik hati, dan menghormati orang tua. Yatim agak bengis dan mempunyai perangai hasad dengki. Dali pula degil dan kedekut. Namun, Busu boleh berkawan dengan mereka kerana Busu banyak bertolak ansur dan selalu mengalah.

Pada suatu hari, mereka berpakat hendak mencari buah keranji. Mereka sudah pastikan pokok keranji yang ingin dipanjat. Buahnya lebat tetapi jauh ke dalam hutan.

Busu menunggu Yatim dan Dali di tepi hutan. Mereka berjanji akan bertemu di situ selepas waktu Subuh. Tetapi puas Busu menunggu, Yatim dan Dali tidak muncul-muncul.

Rupa-rupanya Yatim sudah pergi. Dali mengekori dari belakang. Mereka pergi berasingan. Yatim sengaja pergi berseorangan. Dia ingin mendapatkan lebih banyak buah keranji. Dali juga mempunyai niat yang sama. Masing-masing mempunyai perasaan tamak.

Yatim berjalan seorang diri. Dia melangkah laju. Dia menoleh ke belakang. Dali tidak kelihatan. Yatim ingin memetik buah keranji banyak-banyak sebelum Busu dan Dali tiba.

Dalam perjalanan itu, Yatim berhenti di bawah pokok beringin untuk berehat. Di pangkal pokok itu terdapat busut jantan. Yatim duduk di atas busut itu.



Orang tua itu masih berdiri di situ terketar-ketar. Matanya sayu memandang Dali yang sudah jauh dari situ.

Ketika orang tua itu masih berdiri, muncul Busu. Busu terperanjat melihat ada seorang tua perempuan berdiri di situ. Busu melalui jalan agak jauh dari situ.

"Cucu! Mari sini. Kenapa ikut jalan itu?" orang tua itu menegur Busu sambil mengajak Busu mendekatinya.

"Nenek lapar. Cucu ada membawa makanan? Kalau ada, berilah nenek sedikit," rayu orang tua itu apabila Busu mendekatinya.

"Ada, kalau nenek sudi," jawab Busu.

Busu duduk lalu membuka bekalannya. Kebetulan dia pun sudah berasa lapar dan dahaga. Dia menghulurkan seketul ubi rebus kepada orang tua itu. Orang tua itu menyambut dan menyuap ke mulutnya dengan lahap. Busu memberikan pula air minum kepada orang tua itu.

"Cucu sungguh baik hati. Sebelum cucu tiba, ada dua orang melalui tempat ini. Nenek cuba meminta makanan, tetapi mereka tidak beri," kata orang tua itu.

Busu tahu siapa mereka.

"Rupa-rupanya Yatim dan Dali meninggalkan aku," bisik Busu.



Apabila makanan itu habis, orang tua itu tiba-tiba hilang. Busu terpinga-pinga. Dia mencari-cari dan memanggil orang tua itu, tetapi tidak berjawab.

"Orang atau hantu?" bisik Busu agak cemas.

Busu cepat-cepat membungkus baki ubi kayu rebusnya. Ketika dia hendak melangkah, orang tua itu tiba-tiba menjelma semula di hadapannya. Dia mendukung seekor angsa. Angsa itu besar dan cantik. Bulunya berkilau-kilau seperti emas.

"Nah, ambil angsa ini dan bawa balik! Cucu akan tahu tuah angsa ini apabila cucu memeliharanya. Jagalah baik-baik!" pesan orang tua itu sambil menghulurkan angsa kepada Busu.

Busu mendukung angsa itu. Busu rasa bulu angsa itu amat lembut. Baunya harum seperti bunga melur.

"Hari ini tidak payah cari kayu api. Bawa pulang angsa ini dengan segera," kata orang tua itu. Dia terus menghilangkan diri.

Busu terpegun dan hairan dengan kejadian itu. Dia seperti bermimpi. Dia masih tidak percaya dengan kejadian itu.

Busu tertanya-tanya dari mana nenek tua itu datang? Siapakah dia? Kenapa angsa itu diberikan kepadanya? Banyak pertanyaan Busu tidak terjawab.


Busu tidak jadi cari kayu api. Dia berpatah balik. Apabila sampai di rumah, Busu memberitahu kisah itu kepada neneknya. Nenek Busu juga berasa hairan.

"Ini semua takdir Tuhan. Kita tunggulah apa yang akan terjadi selepas ini," kata neneknya.

Busu melepaskan angsa itu di ruang dapur. Angsa itu tidak dikurung. Setelah menyediakan makanan untuk angsa itu, Busu dan neneknya tidur.

Pagi esok, nenek Busu bangun tidur lebih awal. Selepas menunaikan solat subuh, nenek Busu pergi ke dapur untuk menjerang air dan merebus ubi. Dia terkejut apabila terlihat bilik dapurnya bercahaya.

Cahaya itu berwarna kekuningan. Cahaya itu terang. Cahaya itu datang dari suatu penjuru. Bersinar-sinar seperti ada sesuatu di situ.

Nenek Busu merenung cahaya itu. Rupa-rupanya cahaya itu datang dari sebiji telur. Angsa Busu berdiri berhampiran telur itu.

"Telur emas! Besarnya!" ujar nenek Busu kehairanan. Dia mengangkat telur itu sambil melihat dan memusingkan telur itu di atas tapak tangannya.



Busu juga bangun melihat telur itu apabila dikejutkan oleh neneknya. Busu memegang telur itu.

"Berat! Ini telur emas. Tentu angsa ini yang bertelur," kata Busu.

"Boleh jadi! Ini rezeki daripada Tuhan. Siapa sangka?" kata nenek Busu.

Dengan suruhan neneknya, Busu menjual telur itu di pekan. Telur itu dibayar dengan harga yang sangat lumayan oleh tukang emas.

Sejak itu, Busu dan neneknya menjadi kaya-raya. Mereka membina rumah besar. Busu dan neneknya tidak susah lagi. Orang kampung mulai menghormati Busu. Rumahnya selalu dikunjungi ramai.

Nenek Busu juga bermurah hati. Busu dan neneknya banyak menolong orang kampung yang meminta bantuan. Banyak orang ditolongnya. Sejak itu, orang kampung itu tidak susah lagi. Tidak ada lagi orang yang menghadapi masalah kebuluran.

Rezeki Busu dan neneknya melimpah-limpah. Yatim dan Dali juga ditolong oleh Busu. Mereka menjadi kawan karib Busu. Sikap Yatim dan Dali juga sudah berubah. Yatim dan Dali amat menyesal dengan sikap mereka terhadap orang tua tempoh hari.



Pada suatu hari, raja yang memerintah negeri itu mengadakan pesta tahunan. Rakyat berpesta selama tujuh hari tujuh malam. Berbagai-bagai jenis pertunjukan kebudayaan diadakan sepanjang pesta itu. Antaranya ialah pertandingan ternakan segar dan cantik.

Rakyat negeri itu membawa berbagai-bagai jenis ternakan untuk bertanding. Kawasan pertandingan ternakan penuh dengan haiwan. Ayam, itik, kerbau, lembu, angsa, kuda, dan bermacam-macam lagi.

Orang kampung Busu juga ikut membawa ternakan. Yatim membawa anak beruk. Dali membawa musang. Masing-masing mengharapkan kemenangan dan mendapat hadiah.

Busu juga didesak oleh Yatim dan Dali membawa angsanya ke pertandingan itu.

"Engkau mesti menang. Angsa engkau cantik. Tidak ada tandingnya," kata Yatim.

Akhirnya, Busu mengikut desakan Yatim. Dia mengelek angsanya ke tempat pertandingan. Yatim dan Dali menemani Busu. Busu mengenakan sepasang pakaian cantik hari itu. Begitu juga dengan Yatim dan Dali.

Mereka berjalan beriringan. Busu diapit oleh Yatim dan Dali, kiri dan kanan. Mereka pergi ke gelanggang pertandingan.



Dalam perjalanan ke tempat pertandingan, mereka melalui istana raja. Biasanya, raja dan puterinya berdiri di tingkap atas istana untuk melihat rakyat jelata. Dari tingkap itu, baginda dapat melihat dengan jelas gelagat rakyatnya.

Raja sengaja berdiri bersama-sama dengan puterinya di situ. Tujuan baginda ialah untuk menghiburkan hati puterinya. Puteri raja negeri itu mempunyai suatu penyakit aneh. Puteri itu tidak pernah tersenyum sejak dilahirkan. Sudah dua puluh tahun usia puteri itu tetapi dia tidak pernah tersenyum.

Ayahandanya amat berdukacita dengan penyakit puteri. Habis bomoh dan pawang dipanggil merawat tetapi penyakit tuan puteri tidak berubah. Dia tetap tidak mengukir senyuman.

Akhirnya raja mengeluarkan tawaran, sesiapa yang berjaya membuat puteri itu tersenyum akan menjadi menantunya. Ramai anak raja dan anak pembesar dari negeri lain datang mencuba. Namun, semuanya gagal.

Itulah sebabnya raja mengadakan pesta setiap bulan untuk menghiburkan puterinya.

Hari itu seperti biasa, puteri raja bersemayam sambil menonton berbagai-bagai persembahan dari atas istana.



Kemunculan Busu dengan angsanya menarik perhatian orang ramai. Mereka tertarik dengan kecantikan angsa itu. Bulunya bersinar-sinar seperti emas. Ramai orang mendekati Busu lalu menjamah badan angsa itu.

Sesuatu yang aneh berlaku. Sesiapa yang menjamah bulu angsa, tangannya melekat di badan angsa. Orang lain yang melihat keadaan itu ketawa. Mereka mengekori orang yang melekat di badan angsa. Mereka cuba menjamah, namun mereka juga melekat.

Seorang demi seorang yang cuba menjamah badan angsa itu melekat. Mereka yang melekat itu berjalan berbaris dalam deretan yang panjang. Deretan itu semakin panjang. Mereka terpaksa mengekori pula badan orang di hadapan.

Deretan itu akhirnya melalui istana raja. Orang ramai yang berada di hadapan istana ketawa besar apabila melihat kejadian itu. Raja dan pembesar negeri turut geli hati lalu ketawa.

Puteri raja yang mulanya merenung sahaja ayahnya ketawa, akhirnya ikut tersenyum. Raja terpandang puterinya tersenyum. Baginda cepat-cepat bertitah supaya Busu dan rombongan dijemput ke istana.

"Orang muda! Angsa apa yang yang kamu bawa sehingga menyebabkan semua orang melekat?" tanya baginda apabila Busu menghadap.



"Ampun tuanku! Patik pun tidak menyangka angsa ini akan menyebabkan semua orang jadi melekat. Patik hanya datang untuk menyertai pertandingan," jawab Busu.

Busu seterus mencerita asal-usul angsa itu. Dia juga menceritakan hidupnya telah berubah sejak menemui angsa itu. Baginda mendengar cerita itu dengan hairan dan penuh minat.

"Oleh sebab beta telah berjanji akan mengahwinkan puteri beta dengan sesiapa yang berjaya membuatnya senyum, maka kamulah yang layak jadi menantu beta," titah raja.

Busu tidak boleh menolak perintah raja. Musuh jangan dicari. Rezeki jangan ditolak.

Akhirnya, Busu menemui jodohnya dengan puteri raja. Busu menerima kurnia sebagai raja muda negeri itu.

Pisang setandan masak sesikat,
Bawa ke hulu dengan perahu;
Tuah ayam boleh dilihat,
Tuah manusia siapa tahu?

No comments:

Post a Comment