Thursday, September 23, 2010

ARNAB DENGAN KAMBING


Pak Kob mengikat guni sayurnya pada (karia) belakang basikalnya. Basikal unta buatan tahun 1930-an itu masih elok. Dengan basikal itulah Pak Kob membawa sayur-sayurannya ke pekan.

Dalam guni itu ada timun, kubis, terung, dan daun sawi. Sayur itu hasil tanaman Pak Kob dan isterinya untuk pasaran.

"Abang pergi dulu. Tengah hari baru abang balik," kata Pak Kob kepada isterinya, Mak Nani.

"Baiklah! Jangan singgah di kedai kopi. Jual sayur itu dulu biar habis," pesan Mak Nani.

Hobi Pak Kob suka berbual di kedai kopi. Kalau boleh berbual, dia lupa menjual sayur.

Pak Kob meletakkan kaki kiri di atas pengayuh basikal. Kaki kanannya dihayunkan sambil memijak tanah. Apabila basikal bergerak ke depan, Pak Kob mengangkat kaki kanan lalu duduk di atas pelana. Pak Kob terus mengayuh basikalnya perlahan-lahan sambil menyanyi gembira.

Pak Kob melalui jalan kecil tidak bertar sebelum sampai ke jalan besar. Rumahnya ke jalan besar adalah kira-kira dua kilometer.

Apabila tiba di jalan besar, Pak Kob melajukan kayuhan basikalnya.

Di pertengahan jalan, Pak Kob terpaksa melalui sekatan jalan raya. Dari jauh, Pak Kob sudah nampak dua orang anggota polis, siap beruniform sedang memeriksa kenderaan yang lalu-lalang.

"Sudah, polis! Basikal aku tidak ada brek. Lampu pun tidak ada. Kena saman, habis aku!" bisik Pak Kob sambil menerusnya perjalanannya.

Dia tiba di depan polis. Di situ terdapat papan kenyataan bertulis "BERHENTI, POLIS MEMBUAT SEKATAN JALAN RAYA".

Anggota polis membuat isyarat tangan mengarah Pak Kob berhenti. Pak Kob cuba menghentikan basikalnya, tetapi basikal itu terus bergerak laju. Pak Kob cemas. Basikalnya terus menuju ke arah seorang anggota polis.

"Lalu! Lalu! Tidak ada brek, tidak ada lampu," jerit Pak Kob.

Basikal Pak Kob terus menuju anggota polis. Polis itu cepat-cepat mengelak. Dia terselamat daripada rempuhan basikal Pak Kob. Tetapi Pak Kob dan basikalnya terus menjunam masuk ke dalam parit.

Dua orang anggota polis itu berkejar ke arah Pak Kob. Parit itu ditumbuhi lalang dan semak-samun.

Anggota polis itu hairan kerana mendapati Pak Kob dan basikal hilang.

"Ke mana orang tua itu? Laju dia pergi," kata salah seorang anggota polis.

"Eh, eh! Itu dia! Dalam lalang itu," kata polis yang seorang lagi.

Pak Kob muncul dari semak itu. Dia bangun perlahan-lahan sambil mengangkat basikal. Setelah basikal itu ditongkatkan di tepi jalan, Pak Kob mengangkat guni sayur yang terlucut daripada ikatan.

"Maaf, Datuk! Basikal Pak Kob tidak ada brek. Kalau datuk tidak mengelak tadi, entah apa jadi!" kata Pak Kob. Dia kelihatan pucat dan cemas.

"Tidak apalah, pak cik! Saya maafkan, tetapi brek basikal itu kena pasang. Lampu kena pasang," jawab salah seorang anggota polis itu .

Pak Kob dimaafkan. Dia meneruskan perjalanannya ke pekan.

"Tidak apa! Biarkan aku putuskan ikatan ini," kata arnab.

"Ya, kalau berjaya kita bahagi dua!" jawab kambing.

Arnab mula menggigit tali pengikat guni itu dengan giginya yang tajam. Kambing memerhati dengan penuh minat sambil matanya memandang keliling. Kambing bimbang kalau-kalau datang manusia.
Sebelum sampai ke pekan, Pak Kob terpaksa melalui jalan mendaki bukit. Dia terpaksa mengayuh lebih laju sebelum sampai ke jalan yang semakin meninggi.

Tiba-tiba guni sayur Pak Kob terlucut ikatan lalu jatuh. Pak Kob tidak sedar, dia meneruskan perjalanan.

Tidak berapa lama kemudian, seekor kambing muncul dari semak. Kambing itu mendekati guni sayur. Ia menghidu guni sayur.

"Ada sayur di dalam guni ini," bisik kambing. Ia cuba membuka ikatan tetapi tidak berjaya.

Ketika kambing itu sedang berusaha memutuskan tali ikatan guni, muncul seekor arnab. Ia melompat-lompat menghampiri kambing.

"Ada apa? Guni apa ini kambing?" tanya arnab sambil menghidu guni. Hidung arnab kelihatan mengerut-ngerut.

"Aku rasa ada sayur," jawab kambing.

"Boleh jadi! Baunya macam kubis."


"Cepat putuskan tali itu! Nanti ada orang datang," gesa kambing.

Akhirnya tali itu putus! Sebaik sahaja tali itu putus, mulut guni terburai dan serta-merta bergolek beberapa tongkol kubis.

"Wah, kubis! Aku punya," kata arnab apabila melihat kubis itu, lalu menggigit kubis itu.

"Nanti! Nanti! Kita bahagi dulu baru boleh makan," kambing menahan arnab dengan kakinya.

"Kubis bahagian aku. Engkau makan sayur lain," ujar arnab.

"Mana boleh? Kita lihat semua isi guni ini, lepas itu kita bahagi," kata kambing.

"Engkau jangan memandai-mandai. Kalau aku tidak memotong ikatan guni, sayur ini tidak boleh dimakan," kata arnab yang mulai tamak.

"Betul! Tetapi aku yang menemui guni ini dulu. Kalau aku tidak jumpa guni ini, kau pun tidak tahu," jawab kambing dengan marah.

"Tidak! Semua kubis ini aku punya," kata arnab sambil menggigit kubis.

"Mana boleh? Aku pun berhak," jawab kambing sambil menyepak arnab.

Arnab terperanjat apabila terasa belakangnya ditendang oleh kambing. Arnab merenung tajam pada mata kambing. Ia cuba hendak melawan tetapi takut apabila melihat tanduk kambing yang tajam itu.

Kambing juga agak gerun melihat gigi arnab yang tajam itu. Mereka tidak jadi bergaduh. Masing-masing mendiamkan diri sambil merenung sayur-sayuran yang semakin banyak keluar dari guni.

Arnab dan kambing masing-masing cuba mencari akal untuk mendapatkan sayur itu. Mereka tidak mahu berkongsi lagi. Masing-masing mahu memiliki semua sayur.

Kambing dapat satu akal. Dekat situ ada sebatang tiang pagar yang diperbuat daripada simen. Tiang itu sudah buruk, hampir patah.

"Baik! Kita buat satu pertandingan," kata kambing.

"Pertandingan apa?" tanya arnab.

"Kaunampak tiang pagar tu?" tanya kambing.

"Nampak!" jawab arnab.

"Baik! Sesiapa yang dapat menumbangkan tiang itu, dia berhak mendapatkan sayur ini," kata kambing.

"Aku setuju," jawab arnab.

Kambing yakin ia dapat mematahkan tiang itu dengan mudah. Tanduknya kuat dan tajam. Arnab pula yakin ia dapat menumbangkan tiang itu. Ia yakin dapat menggali tanah di pangkal tiang dengan mudah. Tiang itu akan tumbang apabila tanah digali di sekeliling pangkalnya

"Siapa mahu mula dulu?" tanya arnab

"Terpulang!" jawab kambing.

Keputusannya, kambing yang akan memulakan dulu. Tanpa membuang masa, kambing bersedia menanduk tiang itu.

Ia berundur tiga langkah ke belakang. Kambing merenung tiang itu, ia hendak memastikan bahagian mana hendak ditanduknya.

Setelah mengumpul tenaga dan pasti bahagian mana akan ditanduk, kambing meluru laju lalu sekuat hati menanduk tiang.

Prak! Prak! Bunyinya.

Tetapi tiang itu tidak bergerak. Hanya batu dan pasir yang bercampur simen berderai jatuh.

Arnab tersenyum apabila melihat kambing tidak berjaya mematahkan tiang itu.

Kambing mencuba kali kedua. Kali ini ia pasti tiang itu akan patah. Kambing mendekati tiang. Ia akan mengubah cara. Ia mengangkat kedua-dua kaki depannya. Kambing menarik nafas untuk mengumpul tenaga. Ia menghembus nafas dan serentak dengan itu kambing menerjahkan tanduknya ke arah tiang. Berderap bunyinya - kuat.

"Aduh!" Tiba-tiba kambing menjerit kesakitan.

"Tanduk aku patah," kata kambing sambil mengoyang-goyangkan kepalanya.

"Aku mengaku kalah. Engkau pula cuba," kata kambing.

Arnab tersenyum. Ia pasti sayur itu akan menjadi miliknya. Tetapi ia mesti tumbangkan dulu tiang itu.

Tanpa berkata apa-apa, arnab terus ke pangkal tiang lalu mengorek tanah. Banyak tanah di sekeliling tiang itu sudah dikorek keluar. Di sekeliling tiang sudah terbentuk lubang.

Arnab pasti ia berjaya menumbangkan tiang itu. Sekarang tiang itu bergerak-gerak dan bergoyang. Arnab semakin cepat mengorek dan mengeluarkan tanah. Tiang itu kelihatan sudah condong. Arnab terus mengorek tanpa memandang ke atas.

Tiba-tiba tiang itu tumbang lalu menimpa belakang arnab.

"Aduh! Aduh! Tulang belakang aku patah!" jerit arnab sambil melompat menghampiri kambing.

Mereka saling mengeluh dalam kesakitan. Kambing merenung arnab. Arnab merenung kambing. Mereka kemudiannya sama-sama merenung guni sayur.

Tiba-tiba mereka terpandang seorang manusia dengan lajunya menunggang basikal ke arah itu.

"Manusia! Lari!" kata kambing lalu menyusup masuk ke dalam semak. Arnab juga ikut lari mengekori kambing.

"Oh, di sini rupanya guni aku tercicir! Mujur ada lagi," kata Pak Kob.

Rupa-rupanya Pak Kob baru sedar guni sayurannya jatuh. Dia mengikat mulut guni lalu pergi dari situ.

Arnab dan kambing memerhati dari dalam semak. Harapan mereka untuk makan sayur itu hancur. Mereka amat menyesal kerana terlalu tamak. Kalau sayur itu terus dibahagi dua, tentu mereka tidak menerima nasib malang.

Kambing dan arnab masuk semak,

Tiba-tiba Pak Kob datang ke mari,

Jangan amalkan sikap tamak,

Kelak merugikan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment