Thursday, September 23, 2010




Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat bertemu dan selamat berkenalan.

Terlebih dahulu daku ingin memperkenalkan diriku.

Namaku Wan Hafizi @ Wan Hakimi Bin Wan Hassan. Umurku baru 14 tahun. Aku ialah anak pertama daripada empat orang adik-beradik, iaitu dua orang lelaki dan dua orang perempuan.

Aku belajar di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kota Bharu. Adik-beradikku, Wan Nur Ileni (12 tahun),Wan Mohd Fikri (10 tahun), dan Wan Nur Fatihah (8 tahun) belajar di sebuah sekolah rendah kebangsaan, juga di Kota Bharu.

Ayahku bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan di sebuah jabatan kerajaan di Bachok, sementara ibuku pula bertugas sebagai jururawat di Hospital Kota Bharu (HKB).

Hobiku ialah menonton TV, membaca buku-buku cerita, melayari Internet, dan menulis cerita. Selain itu, aku juga mempunyai hobi yang luar biasa, iaitu berangan-angan. Tetapi kamu jangan salah anggap. Aku bukannya pengikut Mat Jenin. Bukan!

Baiklah, kamu tentunya ingin tahu tentang apa yang pernah kuangan-angankan. Pada kesempatan ini, aku akan menceritakan sebahagian daripada angan-anganku kepada kamu.

Aku adalah seorang tokoh korporat yang berjaya. Aku dilantik sebagai pengerusi bagi beberapa buah syarikat dan mempunyai saham yang banyak di dalam syarikat-syarikat yang berkenaan.

Sebagai tokoh korporat, aku memiliki beberapa buah kereta mewah dan beberapa buah banglo besar.

Kehidupan harianku amat sibuk. Masaku banyak dihabiskan di meja mesyuarat, di tapak-tapak projek, di majlis-majlis jamuan, dan di luar negara.

Kebanyakan rakanku terdiri daripada tokoh korporat, pegawai kanan kerajaan dan swasta, Tan Sri, Datuk, tokoh politik, kerabat sultan, dan lain-lain.

Pada masa lapang, aku bermain golf bersama rakan-rakan yang aku sebutkan tadi. Aku berasa seronok apabila bersama mereka. Sekurang-sekurangnya, aku dapat melupakan sebentar dunia korporat yang banyak saingan dan cabaran.

Ibu bapaku turut berbangga dengan pencapaianku dalam dunia korporat. Mereka bersyukur kerana aku merupakan satu-satunya anggota keluarga kami yang menjadi tokoh korporat!

Aku juga pernah berangan-angan untuk menjadi seorang pakar komputer yang terkenal di seluruh pelosok dunia. Sebagai pakar komputer, aku mempunyai sebuah syarikat gergasi bertaraf antarabangsa, iaitu Hafizi International Incorporated yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Syarikat ini mempunyai cawangan di beberapa negara terkenal seperti di Amerika, Perancis, United Kingdom, China, dan Arab Saudi.

Syarikat ini merupakan pereka dan pengeluar beberapa jenama komputer, antaranya Malaysiana X-2020, Transworld Superwords G-2, Cybertic Machine WH 3, dan Phantom ZZ Cyberlink.

Syarikat ini mempunyai 2,000 pegawai eksekutif dan 10,000 kakitangan yang bekerja dalam pelbagai jabatan. Aku sendiri mengetuai Jabatan Reka Cipta dan Inovasi yang mempunyai 300 orang pakar dan pereka komputer. Aku juga adalah ketua eksekutif syarikat ini.

Pendapatan bersih syarikat pada tahun kewangan 2005 adalah 950 juta dollar Amerika. Pendapatan ini dijangka meningkat 10% hingga 15% lagi pada tahun kewangan 2006.

Baru-baru ini, syarikat ini telah menerima Penganugerahan Global daripada Institut Reka Cipta Antarabangsa yang beribu pejabat di London.

Aku berbangga dengan pencapaian ini kerana aku telah membuktikan bahawa anak Malaysia mampu mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa sebagai pereka dan pengeluar komputer yang tercanggih.

Sebagai menghargai kejayaanku, baru-baru ini aku dianugerahi bintang kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri oleh D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Berikutan itu, aku banyak menerima ucapan tahniah daripada rakan korporat, syarikat tempatan dan antarabangsa, serta rakan.

Ucapan tahniah itu terpampang bersama dengan gambarku, di dalam akhbar-akhbar berbahasa Malaysia dan Inggeris, yang diterbitkan di negara ini.

Kini aku bukan lagi ahli korporat biasa, tetapi tokoh korporat yang memiliki gelaran Tan Sri. Ya, namaku sekarang ialah Tan Sri Wan Hafizi @ Wan Hakimi bin Wan Hassan!

Apa pendapat kamu, teruk sangatkah angan-anganku?

Walau apapun pendapat dan tanggapan kamu, aku akan terus berangan-angan. Apabila aku berangan-angan, aku berasa seronok dan gembira. Selepas berangan-angan, aku kembali ke dunia yang sebenar.

Di dunia sebenar, aku adalah seorang pelajar. Sebagai seorang pelajar, aku perlu belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Malah, di dunia sebenar juga, aku perlu mengubah angan-anganku supaya menjadi cita-cita yang tinggi dan murni. Setelah angan-angan itu menjadi cita-cita, aku perlu pula berusaha bersungguh-sungguh bagi menjadikan cita-cita itu dapat mencipta kejayaan di dalam hidup ini.

Aku harap kamu juga akan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan menggantung cita-citamu di puncak langit, atau di bintang-bintang. Berfikirlah secara positif dan bersikap kreatif serta proaktif.

Sesungguhnya, masa depanku dan masa depan kamu terletak di sebalik usaha-usaha gigih yang kita lakukan sendiri.

Sampai di sini sahaja untuk kali ini. Salam hormat daripadaku.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umurku panjang,
Boleh daku bercerita lagi.

No comments:

Post a Comment