Thursday, September 23, 2010
ARNAB DAN KURA-KURA
Cerita arnab dan kura-kura sudah lama kita dengar. Cerita itu kita dengar melalui lisan atau buku bacaan.
Tiada seorang pun tahu siapakah sebenarnya yang mencipta cerita itu. Kita hanya mengetahui cerita itu dicipta oleh orang tua-tua dahulu dan dituturkan melalui mulut ke mulut.
Ceritanya mengisahkan arnab berlumba dengan kura-kura. Dalam perlumbaan itu, kura-kura yang menang. Musang menjadi pengadil.
Punca perlumbaan itu diadakan ialah kerana arnab mengejek kura-kura, justeru kura-kura berkaki pendek. Berjalan amat perlahan.
Kura-kura rasa terhina dengan ejekan arnab. Lalu kura-kura mengajak arnab berlumba.
Arnab menerima pelawaan kura-kura dengan senang hati. Arnab fikir ia dapat mengalahkan kura-kura dengan mudah.
Hari perlumbaan ditetapkan. Musang diminta menjadi pengadil pelepas dan pengadil penamat.
Pagi-pagi lagi, arnab dan kura-kura berada di tempat pelepas. Jauh perlumbaan itu ialah sepanjang sebatang anak sungai.
Semua binatang lain keluar untuk menonton perlumbaan itu. Di tempat permulaan, kura-kura diejek oleh arnab dan puaknya. Binatang-binatang lain pun ada yang turut mengejek kura-kura.
Di garisan permulaan, musang bersiap-sedia. Arnab dan kura-kura bersedia di garisan.
Musang meniup wisel.
Arnab melompat ke depan. Ia berlari dan melompat laju ke depan. Sekejap sahaja, arnab tidak kelihatan lagi.
Kura-kura baru sedepa berjalan ke depan. Binatang lain riuh-rendah bersorak. Ramai yang mengekori kura-kura.
Di garis penamat, banyak juga binatang yang menunggu di situ untuk mengetahui keputusan pertandingan itu. Binatang-binatang itu yakin bahawa arnab akan menang. Binatang-binatang itu menunggu dan mengharapkan arnab akan muncul sebagai juara.
Tetapi binatang-binatang itu terkejut besar apabila melihat kura-kura yang muncul dan tiba di garisan penamat. Kura-kura amat letih. Ia kehilangan nafas lalu pengsan.
Ketika kura-kura dirawat oleh kawan-kawannya, arnab baru muncul. Semua binatang mengejeknya kerana tewas.
Arnab sangat malu lalu beredar dari situ. Mengapa arnab kalah? Semua orang tahu sebabnya. Arnab memandang ringan terhadap perlumbaan itu. Arnab tidur di pertengahan jalan lalu terlena dengan nyenyaknya. Kura-kura pula terus bergerak sedaya upaya.
Ketika kura-kura sudah sampai ke garisan penamat, arnab baru sedar dari tidur. Tetapi ia sudah terlambat.
Mulai hari itu, arnab tidak lagi mengejek kura-kura. Tetapi arnab berazam akan berlumba lagi dan mengalahkan kura-kura.
Pada suatu hari, arnab mencabar kura-kura berlumba sekali lagi. Arnab berazam mengalahkan kura-kura kerana ingin menyapu arang di mukanya.
Kura-kura tidak menolak. Hari perlumbaan ditetapkan. Tempatnya sama. Pengadilnya juga sama, iaitu musang.
Kura-kura membuat ramalan, kali ini ia akan kalah. Arnab tidak akan tidur untuk kali kedua. Kura-kura mesti mencari helah supaya menang sekali lagi.
Kura-kura mengajak kawan-kawannya berjumpa. Kura-kura mesti mencari helah untuk mengalahkan arnab. Dalam perjumpaan itu, mereka mendapat suatu akal. Setelah menyusun cara dan helah, kura-kura itu pulang dengan senang hati.
Hari perlumbaan pun tiba. Semua binatang lain keluar menonton. Musang siap sedia dengan tugasnya sebagai pengadil.
Apabila arnab dan kura-kura sudah bersedia di garisan, musang meniup wisel. Arnab berlari laju menuju ke depan. Kura-kura seperti biasa merangkak perlahan-lahan sambil menjeling ke kiri dan ke kanan. Binatang lain bersorak memberi semangat. Semua binatang tersenyum melihat wajah kura-kura hari itu. Ia kelihatan cantik. Kura-kura memakai bedak, gincu, dan celak kening. Wajah kura-kura kelihatan seperti pengantin baru.
Semua binatang meramalkan arnab mesti menang kali ini. Dalam perlumbaan pertama, arnab kalah kerana tertidur di pertengahan jalan. Kali ini arnab tidak akan mengulang kesilapan itu lagi.
Arnab terus meluncur dengan lajunya ke depan. Ia tidak berpaling ke belakang lagi. Di lorong laluan perlumbaan tidak ada binatang yang menunggu. Semua binatang berada di garisan penamat. Mata semua binatang itu tertumpu pada lorong perlumbaan.
Tiba-tiba semak bergerak. Muncul kura-kura. Ia menghayunkan kakinya dengan laju. Kura-kura kelihatan tercungap-cungap lelah.
Apabila kura-kura mencecah kaki ke garisan penamat, barulah arnab muncul. Ia berlari laju ke garisan penamat, namun kura-kura sudah lebih awal mencecahkan kaki di garisan penamat itu.
Arnab berasa sungguh malu. Tetapi ia tidak menunjukkan perasaan kecewanya itu. Arnab bersalam dan memeluk kura-kura sambil mengucapkan tahniah.
Perlumbaan itu tiada hadiah. Kura-kura dan arnab pulang dengan tangan kosong.
Apakah rahsianya menyebabkan kura-kura menang lagi?
Rahsianya ialah kura-kura berpakat dengan semua kawannya supaya bersembunyi di sepanjang anak sungai itu.
Jika arnab menoleh ke belakang, kura-kura lain yang berada dihadapan hendaklah berpura-pura berlari. Dengan demikian, arnab akan terus berlari lagi.
Oleh sebab itu, semasa arnab sudah hampir tiba ke garisan penamat, seekor kura-kura lain sudah bersedia di situ. Kura-kura itu muncul dan terus pergi ke garisan penamat.
Dengan cara demikian, kura-kura dapat memenangi pertandingan tersebut. Semua haiwan lain tidak terfikir akan helah itu.
Hal ini demikian kerana setiap kura-kura adalah sama saja rupa dan bentuknya. Demikianlah kecerdikan kura-kura.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment