Khubaib bin Adie
Hebat kisah pahlawan yang bernama Khubaib bin Adie ini. Mari sama-sama kita hayati kisah beliau.
Islam adalah agama aqidah. Aqidah yang hidup dan berfungsi. Aqidah yang mewarnai kehidupan dengan warna yang dikehendaki oleh Allah swt. Aqidah Islam bukanlah satu khayalan atau impian tetapi adalah satu keyakinan yang bertapak dalam lubuk hati manusia dan terbukti dalam praktik hidupnya. Hati yang yakin dengan bulat kepada kekuasaan Allah swt dan yakin pada pimpinan Rasulullah saw, ia akan mengorbankan apa saja semata-mata kerana mempertahankan aqidah Islam yang dihayatinya. Tiada Islam tanpa pahlawannya.
Khubaib bin Adie r.a adalah di antara pahlawan Islam yang telah dilahirkan dari madrasah Rasulullah saw. Hidup dan matinya adalah untuk aqidah Islam. Keyakinannya tak berbelah bagi lagi setelah imannya betul-betul dibentuk oleh pendidikan wahyu Allah swt. Imannya terpancar dalam hidupnya dan aqidah Islam betul-betul menguasai jiwanya.
Khubalb telah ditawan oleh orang-orang jahat sedang dia dalam perjalanan ke tempat yang bernama Adhal wal Qarah untuk menunaikan tugas dakwah yang telah diperintahkan oleh Rasulullah saw kepadanya. Orang-orang itu telah membawanya ke Mekah lalu menjualnya kepada Hajr ibnu Abi Ihab Attamimi untuk dibunuh sebagai membalas dendam terhadap kematian bapanya yang telah dibunuh dalam peperangan Badar.
Pada hari yang telah ditentukan terlebih dahulu, dia telah dikeluarkan oleh orang-orang Musyrikin ke Tana'im untuk disula. Di sana ia telah mengatakan kepada mereka:
"Dapatkah kamu membenarkan aku sembahyang dua rakaat?" Kata mereka :
"Bolehlah engkau sembahyang." Lalu Khubaib pun sembahyang dua rakaat dengan elok dan sempurnanya.
Setelah selesai sembahyang itu ia datang semula kepada orang-orang Musyrikin seraya berkata: "Demi Allah! Jika aku tidak takut kamu menyangka bahawa aku sengaja melengah-lengahkan masa kerana takutkan kematian, tentulah aku akan membanyakkan sembahyangku."
Ketika ia dinaikkan ke atas kayu salib, orang-orang Musyrikin itu telah berkata kepadanya: "Kembalilah semula (kepada agama asalmu) daripada agama Islam, nanti engkau akan kami bebaskan."
Sahutnya: "Tidak, demi Allah! Aku tidak suka keluar dari agama Islam meskipun aku diberikan seluruh isi bumi ini.
"Kembalilah wahai Khubaib."
Khubaib menjawab, "Aku tidak akan kembali sama sekali."
Sambung mereka, "Demi Latta! Sekiranya engkau tidak kembali, kami akan membunuhmu."
Dijawab Khubaib, "Bahawa terbunuhnya aku pada jalan Allah adalah hal yang mudah."
Lalu mereka mengalihkan mukanya ke arah lain daripada arah kiblat.
Katanya: "Walau ke arah manapun kamu mengalihkan wajahku, Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Kemanapun kamu berpaling, maka di sana adalah wajah Allah."
Kemudian ia meneruskan lagi, katanya: "Wahai Tuhanku! Bahawa aku tidak nampak sekarang selain daripada wajah musuh. Wahai Tuhan! Tidak ada sesiapa di sini yang dapat menyampaikan salamku kepada RasulMu, maka sampaikanlah salamku kepadanya."
Di waktu yang sama, Rasulullah saw sedang berada bersama-sama para sahabatnya di Madinah. Secara tiba-tiba baginda didatangi keadaan tidak sedarkan diri (absence).
Sejurus kemudian baginda pun bersabda: "Jibrail telah datang menyampaikan salam Khubaib kepadaku."
Lalu Khubaib dihampiri oleh empat puluh orang Musyrikin itu yang masing-masing memegang lembing.
Kata mereka: "Inilah orangnya yang telah membunuh bapa-bapa kamu di dalam peperangan Badar."
Sahut Khubaib: "Ya Allah! Bahawa kami telah menyampaikan risalahMu maka sampaikanlah kepadanya apa yang
diperbuat terhadap kami. Ya Allah! Hitungilah bilangan mereka dan musnahkan mereka dan jangan ditinggalkan sesiapa pun daripada mereka."
Di sini Mu'awiyah bin Abu Sufiyan, yang ketika itu masih di dalam golongan kaum Musyrikin, telah menjatuhkan diri ke tanah (meniarap) untuk mengelakkan doa Khubaib, begitu juga Hakim bin Huzam dan Jubair bin Muth'im
telah lari dan menghilangkan diri masing-masing dari situ.
Ketika tubuhnya mula dirobak-rabikkan oleh lembing-lembing kaum Musyrikin itu, Khubaib telah memutarkan diri ke arah Kaabah sambil mengucapkan:
"Alhamdulillah! Bersyukur kepada Allah yang mengalihkan wajahku ke arah kiblat yang diredhaiNya bagi diriNya, NabiNya dan orang-orang Mukmin."
Musuh-musuh Allah itu terus merobak-rabikkan jasad Khubaib dengan lembing-lembing mereka, sedang ia tidak
putus-putus menyebut "Laa ila Ha IllaLlah" hinggalah ia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Maka bergolaklah rohnya yang suci bersih itu menuju ke alam tertinggi, mengadukan kepada Allah tentang kezaliman yang telah dilakukan terhadapnya oleh orang-orang yang zalim.
Inilah bukti kehebatan hidup manusia yang beraqidah yang hanya tercerna dalam hidup orang-orang yang benar-benar yakin kepada petunjuk dan kuasa Allah swt. Khubaib bin Adie kembali menemui Allah dalam keadaan yang paling mulia kerana ia berjaya membuktikan perhambaannya kepada Allah swt.
Tuesday, September 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment